'Relationship Goal' yang perlu anda buat bersama pasangan anda


Pernah tak anda membuat satu rancangan kewangan bersama pasangan anda?
Jika tidak pernah, anda harus bermula dari sekarang.

Kenapa matlamat kewangan ini sangat penting?
Supaya perjalanan hidup anda bersama pasangan lebih teratur dan jauh dari masalah kewangan.

Jom baca 5 matlamat kewangan yang anda perlu buat bersama pasangan anda.


1. Aset

Kenapa aset sangat penting kepada anda dan pasangan?
Sebab aset akan meningkatkan taraf hidup kita melalui peningkatan nilai dari semasa ke semasa.

Ini bermakna, semakin meningkat usia kita, semakin tinggi nilai aset yang kita ada.
Antara aset yang wajib anda miliki pada usia muda adalah rumah. Rumah boleh dijadikan tempat tinggal dan pada masa yang sama rumah juga boleh disewakan.

Sebelum berkahwin, pastikan anda dan pasangan memiliki sekurang-kurangnya 1 rumah setiap seorang.

Memiliki rumah bukan bermakna memiliki rumah yang berharga jutaan ringgit tetapi cukuplah sekadar rumah yang murah dan boleh didiami.

Wanita, anda sepatutnya beli rumah sendiri sebelum berkahwin supaya rumah tersebut boleh dijadikan sebagai persediaan jika sesuatu terjadi kepada diri anda.


2. Simpanan

Sebelum berkahwin, anda sepatutnya mempunyai simpanan yang cukup iaitu sehingga 6 bulan gaji sebagai persediaan selepas kahwin.

3 bulan dijadikan sebagai simpanan kecemasan manakala 3 bulan lagi dijadikan sebagai simpanan persediaan kelahiran anak.

Kos hidup selepas kahwin memang sukar dijangka kerana masih lagi dalam proses kenal pasangan masing-masing. 

Sebab itu simpanan anda harus bermula dari awal lagi supaya kehidupan anda di masa hadapan lebih terjamin.

Rancanglah dengan pasangan anda supaya memiliki simpanan yang cukup berbanding berbelanja tinggi untuk majlis perkahwinan.


3. Takaful

Apabila sudah berkahwin, satu perkara yang anda harus fikirkan adalah persediaan apabila salah seorang dari pasangan sudah tiada.

Sebagai contoh, jika sebelum ini isteri bergantung kepada gaji suami, akan menjadi masalah apabila suami sudah tiada.

Kehilangan pasangan adalah satu perkara yang amat menyedihkan. Oleh itu, apabila anda mempunyai pelan takaful ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban anda nanti.

Selain itu, pelan kad kesihatan juga amat penting jika anda dimasukkan ke hospital disebabkan oleh kemalangan.

Kos ubat-ubatan yang semakin mahal mungkin akan menyebabkan simpanan anda berkurang.

Pilih pelan takaful yang sesuai dengan diri dan pasangan anda. Pastikan juga bayaran bulanan tidak terlalu mahal melebihi keperluan anda.


4. Pendapatan sampingan

Walaupun anda sekarang sedang bekerja dengan majikan anda, carilah medium untuk tambah pendapatan sampingan.

Pendapatan sampingan ini penting untuk meningkatkan taraf hidup anda. 

Anda boleh pergi melancong bersama keluarga atau beli barang yang anda inginkan tanpa mengusik gaji anda.

Pendapatan sampingan ini juga yang akan meningkatkan jumlah simpanan anda dan memudahkan anda mengumpul deposit untuk beli rumah.

Sekarang sudah ramai ibu bapa yang mula menjalankan perniagaan online kerana ia lebih mudah dan menguntungkan.

Dan lebih menarik lagi, bermula dengan sambilan, akhirnya mereka mula buat perniagaan online secara sepenuh masa.

5. Dana persaraan dan pendidikan anak-anak

Fakta menunjukkan walaupun anda mempunyai simpanan KWSP, jumlah tersebut masih tidak cukup untuk menampung perbelanjaan selepas anda bersara nanti.

Melainkan simpanan KWSP anda boleh mencecah RM1 juta ketika anda bersara, anda tidak perlu risau. Namun, tidak ramai individu yang akan mempunyai simpanan sehingga RM1 juta.

Salah satu medium simpanan dan pelaburan yang boleh membantu anda mendapatkan nilai persaraan sehingga RM1juta adalah melalui simpanan secara tetap di akaun amanah saham.

Dengan simpanan RM300 setiap bulan, anda sebenarnya boleh mendapat nilai RM1juta dalam masa 30 tahun.

Selain itu, anda juga harus menyediakan dana pendidikan anak-anak supaya anak anda tidak perlu terbeban dengan pinjaman pendidikan.

Perkara diatas adalah persediaan dari sudut kewangan yang anda harus lakukan. 
 
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment