Jika anda sudah biasa menyimpan sejak dari kecil, mungkin anda tiada masalah untuk menyimpan secara tetap setiap bulan.
Namun, bagi mereka yang baru bermula dengan tabiat menyimpan, mungkin sukar untuk membiasakan diri menyimpan secara tetap. Ada juga sesetengah dari kita yang rajin menyimpan tetapi pada masa yang sama duit simpanan tersebut digunakan juga.
Kami ingin kongsikan beberapa tip dan tabiat menyimpan yang efektif.
Bermula dengan matlamat
Perkara utama yang perlu anda lakukan adalah dengan menetapkan matlamat simpanan tersebut.
Mungkin anda ingin jadikan simpanan tersebut sebagai simpanan kecemasan, simpanan deposit rumah, simpanan melancong atau apa sahaja matlamat. Apabila simpanan anda dimulakan dengan matlamat yang jelas, anda akan faham tujuan sebenar anda menyimpan.
Berbanding jika anda menyimpan setiap bulan tanpa matlamat, anda mungkin akan gunakan wang simpanan tersebut untuk perkara lain yang tidak penting.
Seeloknya, tulis matlamat tesebut secara jelas di atas kertas atau di mana sahaja yang mudah untuk anda lihat. Ini akan beri anda motivasi tambahan untuk kekal menyimpan setiap bulan.
Catat segala duit masuk dalam tabung
Untuk mengelakkan duit simpanan anda bocor, anda haruslah merekod setiap duit yang masuk. Jika ada duit keluar atas sebab yang munasabah, rekodkan juga duit keluar tersebut.
Ini bagi memudahkan anda untuk mengawasi baki yang berada di dalam tabung anda dan juga melihat sama ada baki tersebut sama seperti apa yang anda inginkan.
Selain itu, setiap perbelanjaan harian anda juga haruslah direkodkan bagi mengelakkan sebarang perbelanjaan yang tidak diperlukan. Setiap hujung bulan, anda boleh menilai sendiri pecahaan perbelanjaan yang anda buat untuk sepanjang bulan dan anda boleh buat analisis pada bulan berikutnya.
Ini peluang untuk anda lihat ke manakah duit ada pergi dan dibelanjakan.
Tabung tanpa kunci
Jika anda simpan wang anda di tempat yang susah untuk dikeluarkan, anda akan capai matlamat anda dengan cepat dan tepat pada masanya.
Wang yang anda simpan di dalam bank mungkin agak senang untuk keluarkan apabila ingin gunakan wang tersebut. Lebih-lebih lagi apabila anda hanya perlu menggunakan kad debit untuk melakukan transaksi jual beli.
Salah satu cara yang sesuai adalah dengan fasiliti akaun simpanan tanpa kad debit atau kad atm. Dengan cara ini, agak sukar untuk anda mengeluarkan wang dari akaun simpanan anda. Selain itu, anda juga boleh simpan wang anda di akaun amanah saham dimana anda akan rasa rugi jika keluarkan dalam tempoh yang pendek.
Berjimat cermat
Antara punca tabung simpanan kita sering terbabas adalah kerana kekurangan wang untuk perbelanjaan harian seperti makan, minum, bayar bil, dan lain-lain lagi.
Semakin tinggi perbelanjaan anda, semakin tinggi kemungkinan anda akan menggunakan tabung simpanan anda. Oleh itu, penjimatan dari duit gaji anda juga akan mempengaruhi tabung simpanan anda.
Kebiasaannya, semakin banyak penjimatan yang dilakukan setiap bulan, semakin banyak simpanan yang mampu dibuat.
Simpan lebih dari bajet sebenar
Jika anda merancang untuk membuat simpanan sebanyak RM200 setiap bulan, cuba anda lebihkan simpanan anda kepada RM300. Dengan cara ini, anda akan lebih cepat untuk capai matlamat kewangan anda.
Simpanan dalam bentuk wang selalunya adalah merugikan kerana nilai matawang yang semakin mengecil atas faktor inflasi. Sebab itu ramai orang bijak kewangan akan menukar wang kertas mereka kepada aset seperti hartanah atau emas.
Namun, tidak dinafikan bahawa simpanan wang adalah permulaan kepada segala jenis pelaburan.
0 comments:
Post a Comment