Pernah tak anda sebagai ibu bapa terfikir bagaimana cara yang efektif untuk mendidik anak menjadi lebih cerdik dalam kewangan.
Pengurusan kewangan yang baik haruslah bermula sejak dari kecil lagi dan tugas ini menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam mencorak masa depan anak mereka.
Jom baca beberapa cara dan aktiviti yang and boleh cuba untuk kebaikan anak anda dalam pengurusan kewangan.
1. Permainan monopoly/cashflow
Menjadi lumrah kanak-kanak di usia yang masih muda dan mentah mahukan permainan dalam hidup mereka.
Jangan sesekali kitaa menghalang anak kita dari bermain. Namun, jenis permainan yang mereka lakukan akan mempengaruhi kehidupan dan cara pemikiran mereka di masa hadapan.
Ibu bapa haruslah dedahkan anak-anak mereka dengan permainan yang menghiburkan tetapi pada masa yang sama memberi manfaat kepada anak-anak mereka.
Setiap kali bermain, pastikan ibu bapa menerangkan kebaikan yang anak-anak mereka akan dapat supaya mereka lebih faham tujuan permainan tersebut.
Jika sewaktu kecil lagi sudah didedahkan dengan permainan yang membuatkan mereka berfikir secara logik, ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk membuat keputusan dengan baik dalam kehidupan sebenar.
Antara jenis permainan yang boleh meningkatkan tahap kecerdasan anak-anak terhadap pengurusan kewangan adalah seperti Monopoly dan Cashflow Board. Permainan seperti ini menarik minat anak-anak untuk mempunyai minda seperti seorang jutawan dan memahami tujuan pengurusan kewangan yang baik.
2. Simpanan dan perbelanjaan
Jika sebelum ini anda mungkin menyediakan duit belanja sekolah setiap hari, anda mungkin boleh tukar cara tersebut dengan menyediakan duit belanja secara bulanan.
Walaupun anda mungkin akan rasa sedikit risau tentang perbelanjaan yang anak anda akan gunakan, tetapi inilah cara terbaik untuk didik anak anda tentang pengurusan kewangan.
Namun begitu, sebelum anda mulakan cara ini, pastikan anda sudah terangkan dahulu kepada anak anda tentang tujuan dan matlamat beliau.
Didik anak anda menguruskan wang cara korporat iaitu menggunakan bajet dan rekod keluar masuk.
Dengan wang belanja RM100 setiap bulan kepada anak anda, pastikan berapa jumlah yang sesuai untuk mereka simpan dan belanjakan. Juga, anda boleh terangkan kesan-kesan buruk jika anak anda tidak mempunyai simpanan atau berbelanja melebihi bajet yang disediakan.
3. Pendapatan sampingan
Pada hujung minggu, anda boleh luangkan masa anda bersama anak-anak melalui aktiviti berniaga yang menyeronokkan.
Antara aktiviti yang mungkin anda boleh cuba adalah seperti menjual air di taman permainan, menjual nasi lemak atau mengambil upah mencuci kereta. Objektif utama bukanlah jumlah pendapatan sampingan yang diinginkan tetapi pengalaman yang dapat digunakan pada masa hadapan.
Melalui cara ini, anak-anak telah di dedahkan dengan bagaimana susahnya mencari duit dan juga pengalaman berkomunikasi dengan orang ramai.
Kebanyakan jutawan yang berjaya pada hari ini sudah di dedahkan dengan dunia perniagaan sambilan sejak dari kecil lagi.
Zaman sekarang, anda mungkin boleh mencuba perniagaan internet bersama anak anda. Cara ini lebih mudah kerana anda hanya perlu duduk dirumah sahaja dan banyak masa dapat diluangkan bersama.
4. Filem keusahawanan
Menonton filem di pawagam sebenarnya satu aktiviti riadah yang baik dan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Lebih menarik lagi jika filem yang ditonton itu dapat memberi manfaat kepada anak anda. Dedahkan anak anda dengan filem yang berunsurkan nilai-nilai positif, motivasi, keusahawan dan juga pengurusan kewangan.
Dalam mencari hiburan, anak anda belajar ilmu yang baru dan bermanfaat. Di rumah juga, anda sebagai ibu bapa boleh menceritakan pengalaman berharga anda atau orang lain yang dapat memberi motivasi kepada mereka.
Cerita-cerita seperti bagaimana seseorang itu yang pada mulanya gagal kemudian bangkit semula mendapat kejayaan antara cerita menarik yang anda boleh selitkan dalam kehidupan seharian anda.
Di Malaysia sahaja terdapat ramai orang berjaya yang boleh dijadikan sebagai model dan rujukan kepada anak anda. Cerita pahit manis mereka dalam mendapatkan kejayaan akan menarik minat mereka untuk menjadi orang yang berjaya pada masa hadapan.
5. Seminar kewangan dan kedai buku
Pada hujung minggu, anda rajinkan diri untuk bawa anak anda ke seminar yang bermanfaat seperti pelaburan hartanah, saham, keusahawanan atau seminar pengurusan kewangan.
Pendedahan seperti ini banyak memberi kesan positif dalam diri mereka dan pada masa yang sama memberi keyakinan kepada mereka tentang jalan yang mereka akan pilih pada masa hadapan. Segala ilmu yang mereka dapat semasa sesi seminar tersebut akan menjadi perbualan utama mereka apabila berada dirumah.
Selain itu, anda juga boleh bawa anak anda ke kedai buku dan belikan mereka buku yang mereka minat.
Tabiat membaca haruslah diasah sejak dari kecil lagi. Biarkan sahaja judul apa yang mereka ingin baca kerana mempunyai minat membaca sejak dari kecil adalah satu tabiat yang baik.
Tahukah anda, kebanyakan orang yang berjaya pada hari ini adalah disebabkan oleh didikan dan doa dari ibu bapa mereka sejak dari kecil.
Teruskan berusaha dan berdoa untuk anak anda agar menjadi insa yang berguna pada masa hadapan.
0 comments:
Post a Comment