Mungkin ada yang menganggap bahawa memiliki sebuah rumah adalah satu keputusan yang besar dan sukar terutama bagi golongan yang berpendapatan rendah.
Memiliki satu rumah pun sudah mempunyai pelbagai halangan, inikan pula memiliki banyak rumah.
Antara sebab anda perlu memiliki rumah adalah perlindungan masa hadapan anak-anak anda. Jika hari ini kita menganggap harga rumah sudah mahal, cuba bayangkan harga rumah yang anak-anak kita bakal beli.
Mungkin akan terjadi seperti negara Hong Kong dan Singapura di mana harga rumah adalah terlalu mahal.
Bagaimana jika bergaji rendah?
Antara satu halangan utama untuk memiliki rumah di Malaysia ini adalah pendapatan yang rendah untuk mendapatkan pembiayaan dari pihak bank. Oleh itu, apa yang boleh anda lakukan adalah seperti berikut:
1. Pembiayaan bersama
Gabungkan gaji anda dengan pasangan anda untuk dapatkan rumah pertama. Hal ini lebih mudah kerana pendapatan anda akan meningkat disebabkan sokongan oleh pendapatan pasangan masing-masing.
Selain pasangan, anda juga boleh buat pembiayaan bersama adik beradik dan ibu bapa. Dengan penglibatan pihak ketiga, anda perlu lebih berhati-hati dan bertanggunjawab supaya mereka yang menolong kita itu tidak disenarai hitam oleh pihak bank.
2. Lokasi pinggir bandar
Kebanyakan rumah yang terletak di tengah-tengah bandar sudah tinggi harganya. Sebagai alternatif, anda boleh cuba cari rumah yang berada di pinggir bandar dimana jaraknya tidak terlalu jauh dengan bandar.
Kawasan seperti ini biasanya masih lagi murah berbanding rumah yang berada di kawasan bandar. Disebabkan matlamat utama adalah untuk anak-anak anda pada masa hadapan, jarak tersebut mungkin akan menjadi lebih baik pada masa hadapan.
3. Rumah apartment/flat
Rumah flat atau apartment biasanya lebih murah berbanding rumah teres. Rumah harga mampu milik ini juga tidak akan membebankan bagi mereka yang mempunyai pendapatan yang rendah.
Selain itu, sementara menunggu anak-anak dewasa, anda juga boleh sewakan dahulu rumah tersebut bagi mendapatkan pendapatan sewa. Apa yang perlu kita tahu adalah rumah tersebut walaupun bukanlah rumah idaman kita, ia tetap menjadi satu aset yang boleh memberi manfaat pada masa hadapan.
4. Kurangkan komitmen
Antara sebab pembiayaan tidak diluluskan oleh pihak bank adalah komitmen sedia ada yang sudah tinggi seperti pinjaman peribadi, kereta dan kad kredit. Jika anda bergaji rendah dan ingin memiliki rumah, elakkan hutang-hutang yang meningkatkan komitmen anda.
Selain itu, anda juga digalakkan untuk tidak menghabiskan duit anda untuk perkara yang tidak penting serta boleh menyebabkan pembaziran. Bagi golongan lepasan universiti pula, walaupun pemilikan hartanah lebih sukar berbanding memiliki kereta, ini adalah satu cabaran yang perlu anda tempuh.
5. Skim perumahan bantuan
Anda juga boleh memohon pelbagai skim yang ditawarkan oleh kerajaan negeri atau persekutuan seperti Skim Rumah Pertama, PR1MA, Projek Perumahan Rakyat dan Rumah Selangorku.
Semua skim-skim bantuan tersebut lebih mudah untuk anda miliki terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan.
Semoga kempen '1 anak, 1 rumah' ini dapat dicapai oleh ramai orang.
0 comments:
Post a Comment