3 jenis pasaran hartanah dan gaya pelaburannya. Anda yang mana?




Sebelum anda ingin bermula dalam pelaburan hartanah, sebaiknya jika anda faham dahulu jenis pasaran hartanah dan bagaimanakah gaya pelaburan yang sesuai mengikut pasaran tersebut.

Setiap orang mempunyai cara dan gaya pelaburan yang berbeza mengikut kemampuan masing-masing.

Jika anda masih baru dalam pelaburan hartanah, anda boleh pilih mana yang sesuai dengan taraf gaji dan kekuatan kewangan anda.

Pasaran sekunder (Subsale

Pasaran sukender adalah pasaran dimana hartanah dijual melalui pasaran terbuka. Pihak yang terlibat dalam pasaran sekunder ini adalah penjual iaitu tuan rumah dan juga pembeli. Pihak lain yang mungkin terlibat proses jual beli adalah ejen hartanah.

Antara kelebihan pasaran sekunder adalah rumah tersebut telah siap dibina dan ini memudahkan pembeli untuk menilai rumah tersebut dari segi lokasi, fasiliti kawasan persekitaran dan jiran tertangga. Selain itu, anda juga boleh buat lawatan ke rumah tersebut untuk melihat jika ada kerosakan rumah tersebut.

Dari segi proses jual beli pula, pembeli perlu menyediakan modal deposit sebanyak sepuluh peratus dari harga jualan serta kos tambahan lain seperti bayaran peguam, penilai dan lain-lain lagi.

Dari segi pelaburan pula, pasaran sekunder memberikan lebih keuntungan melalui sewa rumah setiap bulan berbanding keuntungan melalui kenaikan harga rumah. Hal ini kerana kebanyakan rumah yang dijual melalui pasaran sekunder berada di kawasan yang sudah matang dan mempunyai kepadatan penduduk tersendiri.

Bagi mereka yang baru bermula dalam pelaburan hartanah, pasaran sekunder menjadi pilihan terbaik dari segi risiko yang rendah.


Pasaran utama (Underconstruction)

Pasaran utama atau projek perumahan baru melibatkan jual beli antara pemaju sebagai penjual dan juga pembeli. Pemaju biasanya akan melakar atau membuat gambaran tentang rumah yang bakal dibina dan kawasan persekitaran untuk ditunjukkan kepada bakal pembeli.

Kelebihan melabur dalam pasaran utama ini adalah kerana diskaun yang banyak diberikan oleh pemaju seperti deposit yang rendah, percuma bayaran peguam dan banyak lagi. Ini lebih memudahkan pembeli untuk mendapatkan rumah tersebut kerana kos permulaan yang lebih rendah.

Antara risiko utama pembelian rumah melalui pasaran utama ini ialah apabila pemaju gagal menyiapkan rumah tersebut seperti yang dijanjikan. Oleh itu, sebelum membuat keputusan membeli rumah dari pemaju, pastikan pemaju tersebut adalah boleh dipercayai dan mempunyai rekod yang baik.

Kebanyakan pelabur yang membuat pelaburan di pasaran utama ini adalah golongan yang mempunyai gaji atau pendapatan yang lebih tinggi. Ini kerana rumah tersebut tidak boleh disewakan semula selama dua atau tiga tahun kerana masih dalam pembinaan dan pada masa yang sama pembeli juga harus membuat bayaran kepada pihak bank.

Keuntungan dari pasaran utama ini biasannya lebih banyak melalui kenaikan harga rumah kerana peningkatan yang mendadak selepas rumah tersebut siap dibina.


Pasaran lelong

Pasaran lelong adalah penjualan rumah yang telah dilelong oleh pihak bank. Proses lelong akan dibuat oleh pelelong atau dalam beberapa kes oleh mahkamah.

Sebagai pembeli, anda perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum boleh masuk acara lelong ini. Harga rumah yang dijual biasanya jauh lebih rendah dari nilai pasaran semasa. Namun, apabila terlalu ramai yang menyertai acara lelong ini, harga rumah yang murah pada asalnya akan meningkat apabila terdapat pembeli yang membuat tawaran yang lebih tinggi.

Sebelum membuat keputusan untuk membida rumah yang dilelong, anda perlu melakukan beberapa carian dan lawatan ke rumah tersebut bagi menilai sendiri status rumah. Terdapat kes dimana rumah tersebut masih lagi berpenghuni walaupun sudah dilelong.

Pasaran lelong biasanya disertai golongan yang mempunyai tunai yang banyak untuk digunakan sebagai bayaran deposit, peguam dan paling penting kos baik pulih rumah tersebut jika keadaan tidak berapa baik. Selain itu, bagi rumah yang berharga bawah RM50,000 tidak semua bank akan memberi pinjaman perumahan dan pembeli terpaksa menggunakan tunai sendiri.

Antara strategi yang digunakan adalah beli rumah, baik pulih dan jual semula. Keuntungan yang boleh anda terima memang banyak jika anda memilih hartanah yang betul.

Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment