Salah satu masalah utama orang muda zaman sekarang adalah mereka mewarisi sifat boros dari kedua ibu bapa mereka. Sejak dari kecil lagi mereka sudah ditunjukkan dengan aktiviti boros dalam perbelanjaan.
Dalam mengatasi masalah ini, ada sesetengah anak-anak yang tidak mampu untuk memberi nasihat kepada ibu bapa mereka berkenaan pengurusan kewangan yang baik demi untuk menjaga hati mereka.
Kami ingin kongsikan beberapa cara yang mungkin sesuai untuk anda amalkan.
Buktikan
Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak mereka yang baru sahaja mendapat pekerjaan pertama untuk memiliki kereta sebagai satu tanda kejayaan. Beban ini terpaksa dipikul oleh anak-anak demi menjaga hati mereka.
Apa yang anda boleh lakukan adalah dengan memberikan fakta atau cerita benar dari orang lain mengenai kesan pemilikan kereta ketika usia muda seperti pinjaman perumahan semakin sukar untuk lulus. Selain itu, anda juga boleh terangkan tentang nilai kereta yang semakin menurun setiap tahun.
Pada masa yang sama, anda juga perlu membuktikan bahawa anda mampu untuk beli rumah pada usia yang muda. Cara ini bukan sahaja dapat memberi kesan kepada ibu bapa malah memberi kesedaran yang sangat tinggi.
Kenalkan dengan pelaburan yang sah
Pembaziran biasanya berlaku kerana tiada matlamat simpanan atau pelaburan terhadap duit tersebut. Oleh itu, sebagai anak, anda hendaklah tunjukkan pelbagai jenis pelaburan yang sah dan boleh memberi pulangan yang baik.
Apabila mereka sudah mempunyai rancangan pelaburan, mereka secara tidak langsung akan mengawal perbelanjaan harian mereka kerana sudah fokus pada pelaburan yang lebih memberi manfaat.
Namun, perkara paling utama yang anda perlu fokus adalah perbezaan pelaburan yang sah dan yang tidak sah. Sudah ramai yang tertipu dengan pelaburan tidak sah yang menjanjikan pulangan yang sangat menguntungkan.
Jangan buat perbandingan
Jika anda ingin memberi teguran kepada ibu bapa, jangan sesekali buat perbandingan terutama dari segi kehidupan mereka dahulu dan kehidupan anda sekarang. Ini adalah satu perkara yang membuatkan para ibu bapa merasa sangat sensitif.
Sebagai anak, anda boleh buat perbandingan hidup anda dan keadaan semasa sahaja. Contohnya, dengan harga rumah yang semakin mahal serta taraf kos hidup yang semakin tinggi, pembelian rumah menjadi satu keperluan yang sangat penting berbanding perkara lain.
Selain itu, jangan pula anda mengungkit kenapa mereka tidak beli rumah pada masa dahulu walaupun anda tahu ia sangat merugikan.
Bawa ke seminar
Bagi memberi kesedaran yang lebih mendalam, anda juga boleh bawa ibu bapa anda untuk sertai anda menghadiri seminar pengurusan kewangan atau pelaburan. Pembelajaran yang santai juga lebih mudah difahami oleh golongan tua.
Selain seminar, anda juga boleh belikan buku pengurusan kewangan, pelaburan, perniagaan atau apa sahaja buku yang bermanfaat untuk ibu bapa anda. Jika anda takut mereka akan tersinggung, anda letakkan sahaja buku tersebut di rumah mereka.
0 comments:
Post a Comment