7 Punca Utama Pinjaman Perumahan Anda Di Tolak




Jika anda mempunyai rancangan untuk membuat permohonan pinjaman perumahan dengan pihak bank, anda perlu tahu beberapa punca utama permohonan anda mungkin akan ditolak.


1. Komitmen yang terlalu tinggi
Komitmen yang tidak perlu seperti pinjaman peribadi, kredit kad dan pinjaman kereta yang terlalu tinggi akan menyebabkan pinjaman perumahan anda bakal ditolak. Pihak bank akan melihat kemampuan anda untuk membuat bayaran balik pinjaman perumahan yang anda mohon itu.

Kebanyakan bank akan menilai kemampuan seseorang dalam permohonan pinjaman perumahan melalui kaedah Debt Services Ratio (DSR). DSR yang tinggi akan menyebabkan pinjaman perumahan anda bakal ditolak.

Contoh :

Gaji bersih : RM3,000
Hutang kereta : RM700
Hutang pinjaman peribadi : RM500

Jika rumah berharga RM300,000 (anggaran bayaran bulanan RM1,500)

(700 + 500 + 1,500)
------------------------     x  100    =  90%  (permohonan anda bakal ditolak)
      3,000

Manakala jika rumah berharga RM100,000 (anggaran bayaran bulanan RM500)

(700 + 500 + 500)
----------------------     x  100     = 56.67%  (permohonan anda akan lulus)
       3,000

Setiap bank mempunyai benchmark peratus mereka tersendiri dan secara purata bank akan beri pinjaman jika nilai DSR anda adalah dibawah 70%.

2. Laporan CCRIS yang buruk
Central Credit Reference Information System (CCRIS) adalah satu laporan yang menunjukkan tabiat pembayaran semula kita kepada pihak bank. Semua hutang anda dengan pihak bank akan tersenarai di dalam laporan CCRIS tersebut dan yang terbaru adalah PTPTN.

Jika anda membayar pinjaman anda pada masa yang telah ditetapkan, laporan tersebut akan menunjukkan angka '0'. Manakala jika anda membayar lewat dari masa yang ditetapkan, laporan tersebut akan menunjukkan angka '1' jika anda lewat bayar sebulan, '2' jika lewat dua bulan dan seterusnya.

Pihak bank akan melihat laporan CCRIS ini sebelum meluluskan pinjaman perumahan anda. Jika anda mempunyai rekod yang baik iaitu angka '0', peratus permohonan anda untuk lulus adalah sangat tinggi.

Bagaimana untuk semak CCRIS?
Anda boleh datang ke Bank Negara Malaysia dan minta mereka print secara percuma.
Anda juga boleh memohon melalui email.


3. Tiada simpanan tetap
Simpanan yang consistent setiap bulan menunjukkan anda seorang yang bijak dalam pengurusan kewangan dan anda tidak mempunyai masalah kewangan.

Seperti yang disarankan oleh kebanyakan pakar kewangan, anda perlu membuat potongan 10% dari gaji anda untuk diletakkan di dalam tabung simpanan anda. Seseorang yang mempunyai simpanan mempunyai risiko yang tinggi apabila berlakunya kecemasan.

Oleh itu, pihak bank akan menilai seseorang yang mempunyai simpanan yang banyak berisiko rendah dan permohonan pinjaman perumahan lebih mudah untuk lulus.

Antara tempat yang anda boleh simpan sebagai simpanan tetap anda adalah seperti tabung haji dan ASB.


4. Gaji sentiasa kosong pada hujung bulan
Salah satu masalah utama pemohon pinjaman perumahan adalah tidak mempunyai baki yang tinggal di akaun bank pada hujung bulan (melainkan dimasukkan ke dalam akaun simpanan lain).

Jika tiada baki ketika hujung bulan, ini menunjukkan anda seorang yang suka berbelanja atau boros. 

Jadi, anda perlu buktikan kepada pihak bank bahawa anda sebenarnya mempunyai banyak lebihan duit pada hujung bulan.


5. Jenis pekerjaan

Jenis pekerjaan juga akan menentukan sama ada permohonan pinjaman perumahan anda bakal diluluskan atau tidak. Secara umum, pekerjaan yang dikategorikan sebagai pekerjaan berisiko tinggi, amat susah untuk pinjaman di luluskan.

Dengan harga minyak yang jatuh dan ekonomi yang tidak stabil ketika ini, anda boleh lihat ramai pekerja yang dibuang dan terpaksa mencari pekerjaan baru. Jika anda di buang kerja, ini akan memberi risiko kepada pihak bank kerana kemungkinan besar anda tidak akan mampu membayar semula hutang anda kepada mereka.

Paling terkesan adalah pekerja Oil and Gas (OAG) di mana ada sesetengah bank yang tidak meluluskan permohonan mereka kerana mereka kini berada dalam risiko yang tinggi untuk di buang kerja.


6. Lokasi rumah yang teruk
Lokasi yang sudah disenarai hitam oleh pihak bank juga akan menentukan sama ada permohonan pinjaman perumahan anda di tolak atau di luluskan. Kawasan seperti Bukit Beruntung, Rawang dan Taman Sentosa, Klang adalah kawasan yang tidak banyak bank akan memberi pinjaman.

Biasanya, kawasan tersebut akan dipenuhi rumah yang di lelong kerana permintaan yang kurang dan kawasan yang kurang strategik untuk dijadikan sebagai pelaburan.


7. Pemaju disenaraihitam
Punca utama pemaju disenaraihitam adalah kerana diisytihar muflis, sudah bankrap atau rekod pembinaan yang terbengkalai. Salah satu contoh pemaju yang muflis adalah TALAM Corporation di mana transaksi jual beli dibawah pemaju tersebut menjadi sukar kerana terpaksa dilakukan melalui liquidator.

Hanya sesetengah bank sahaja yang akan memberi pinjaman perumahan kepada projek perumahan dibawah pemaju yang bermasalah. Sebelum membuat tempahan beli rumah, anda boleh membuat semakan dahulu sama ada pihak bank akan memberi pinjaman perumahan untuk rumah tersebut atau tidak.


Semoga tujuh perkara diatas dapat membantu kita dalam urusan jual beli rumah terutama kepada pembeli rumah pertama.
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment